Masuk

Sifat Rasul yang mulia, dan ciri-ciri Baginda yang tinggi dan pesona Baginda yang lengkap lagi indah

Muhammad Khaidir · 12 Jul 2026

Sifat Rasul yang mulia, dan ciri-ciri Baginda yang tinggi dan pesona Baginda yang lengkap lagi indah

Telah datang kepada kita daripada athar-athar yang sahih lagi masyhur tentang perkara ini. Daripada hadith Ali, Anas bin Malik, Abi Hurairah, AlBarraa’ bin ‘Azib, ‘Aisyah, Ibnu Abi Halah, Ibnu Abbas dan selain mereka (semoga Allah meredhai mereka dan memberi manfaat dengan mereka semuanya), bahawa adalah Nabi itu warna kulitnya putih kemerahan, putih matanya sangatlah putih dan hitamnya sangatlah hitam, pada putih matanya ada sedikit kemerahan dan matanya sangat besar, bulu matanya lentik, keningnya tebal dan terdapat sinaran di antara keduanya, hidungnya mancung, terdapat sedikit jarak di antara kedua gigi depannya, wajahnya tidak terlalu bulat, dahinya luas, janggutnya lebat memenuhi dadanya, serata perut dan dadanya, dadanya bidang, bahunya luas, tulangnya besar,lengan dan kakinya padat dan besar. Tapak tangan dan kakinya luas, jari-jarinya panjang, bercahaya anggotanya yang tidak berbulu, bulu dadanya halus, tubuh Baginda pertengahan; tidak terlalu tinggi atau terlalu pendek, dalam keadaan begitu tiada seorang pun yang tingginya seperti ketinggian Baginda berjalan dengannya melainkan adalah Rasulullah terlebih tinggi dari orang itu, rambutnya ikal beralun. Jikalau Baginda tertawa maka seakan terpancar cahaya kilat dan seakan sinaran mutiara. Apabila Baginda berbicara, kelihatan seolah-olah cahaya memancar keluar di antara celah gigi hadapannya. Baginda empunya sebaik-baik leher, wajah Baginda tidak terlalu lonjong atau bulat, badannya padat dan tidak terlalu berisi.

Telah berkata AlBarraa’, “Aku tidak pernah melihat seorang yang rambutnya panjang hingga ke bawah telinga, yang memakai pakaian berwarna merah yang lebih tampan daripada Rasulillah ﷺ”.

Dan telah berkata Abu Hurairah, “Aku tidak pernah nampak sesuatu pun yang lebih indah dari Rasulillah ﷺ, seakan-seakan matahari berjalan di mukanya, jikalau Baginda tertawa maka terpancar sinaran hingga ke dinding-dinding”,

dan ada seseorang telah bertanya kepada Jabir bin Samrah, “Adakah wajah Baginda seperti pedang”, maka beliau berjawab, “Tidak, bahkan seperti matahari dan bulan”, mukanya sedikit bulat,

dan telah berkata Ummu Ma’bad Radhiyallah Ta’ala ‘anha ketika menyifatkan Baginda, “Seindah-indah manusia apabila kelihatan dari jauh, dan semanis-manis, sebaik-baik manusia apabila dekat”.

Dan telah berkata Hindun ibn Abi Haalah, “Adalah Rasulullah ﷺ itu seorang yang cantik lagi berwibawa, wajahnya cerah berseri bagaikan pancaran bulan di malam purnama, Baginda lebih tinggi dari orang yang sederhana dan lebih rendah dari orang yang tinggi, kepalanya besar, rambutnya beralun; jikalau rambut bahagian depannya terurai, Baginda membuat dua belahan, jika tidak, maka hujung rambutnya dibiarkan sampai ke cuping telinga: warna kulitnya putih kemerahan; dahinya luas, keningnya panjang melengkung bagaikan dua busur panah dan tidak bersambung, di antara kedua keningnya terdapat urat yang timbul apabila Baginda marah, hidung Baginda mancung dan padanya cahaya, apabila orang melihat hidungnya akan membuat mereka menyangka hidungnya lebih mancung dari sebenarnya, janggutnya lebat, mata hitam Baginda hitam pekat, kedua pipinya mulus, mulutnya lebar, giginya rapi dan terdapat jarak diantara gigi hadapannya, bulu dadanya halus, lehernya indah dan suci seperti perak, bentuk tubuhnya sederhana, badannya berisi seimbang, perut dan dadanya sama rata, dadanya lebar, kedua-dua bahunya bidang dan tulang sendinya besar, bahagian badannya yang tidak berbulu kelihatan bersih bercahaya, dari pangkal lehernya terdapat bulu lurus seperti garisan hingga ke pusatnya, puting dan perutnya putih bersih. Kedua-dua bahu dan dada bahagian atasnya berbulu halus, kedua-dua ruas tangannya panjang, tapak kakinya lebar, kedua tapak tangan dan kakinya tebal jarinya panjang, tangan dan kakinya besar, lekukan bahagian tengah tapak kakinya tidak menyentuh tanah, kedua kakinya halus sehingga air yang mengalir tidak melekat pada keduanya. Apabila Baginda berjalan, Baginda mengangkat langkahnya tinggi, Baginda melangkah dengan mantap dan berjalan dengan tenang, Baginda berjalan dengan cepat seakan Baginda turun dari bukit; apabila dipanggil, Baginda akan memaling dengan seluruh badannya, Baginda senantiasa menundukkan pandangan, pandangannya ke bumi lebih banyak daripada pandangannya ke langit, Baginda banyak memandang dengan hujung matanya; apabila berjalan, Baginda akan biarkan sahabat-sahabatnya jalan di hadapannya dan Baginda terlebih awal memberi salam kepada sesiapa Baginda berjumpa”.

Dan adalah Rasulullah ﷺ itu sentiasa bersedih, selalu berfikir, tiada rehat baginya dan Baginda tidak berkata-kata kecuali jika perlu, selalu mendiamkan diri, Baginda bercakap dengan jelas, ringkas dan padat. kata-katanya terperinci tidak berlebihan dan tidak ada kurang, Kata-kata Baginda tidak menyakiti atau menghina orang, Baginda mengagungkan nikmat walau sedikit dan tidak pernah mencela nikmat yang diberikan, Baginda tidak pernah mengeji atau memuji makanan. Apabila kebenaran tidak ditegakkan, tidak ada satu pun yang dapat menghalang kemarahan Baginda sehinggalah ia ditegakkan semula, Baginda tidak pernah marah dan tidak meminta pembelaan atas urusan dan hak peribadinya; jika Baginda menunjuk sesuatu, Baginda menggunakan seluruh tapak tangannya dan apabila Baginda terasa kagum Baginda akan membalikkan tapak tangannya, apabila Baginda menjelaskan sesuatu, Baginda suka memukulkan ibu jari kanannya ke tapak tangan kirinya. Apabila marah, Baginda akan berpaling dan mengelak orang tersebut, dan apabila Baginda gembira, Baginda akan menundukkan pandangannya, kebanyakan tawa Baginda adalah senyuman dan senyuman Baginda luas seakan sinaran mutiara, Selawat dan salam ke atas Baginda dan ke atas seluruh Keluarganya dan Sahabatnya.

Telah diriwayatkan bahawa tidak diletakkan lembaran tentang sifat Baginda ﷺ pada suatu rumah atau di celah barangan atau di tiang, sama ada tempat itu berpenghuni atau tidak, kecuali akan aman dari kebakaran, tenggelam dan penindasan pemerintah, dan kebahagiaan tidak akan meninggalkan tempat itu selamanya.

Dokumen Terkait

Poster A3 Sifat dan Ciri Baginda Rasulullah (untuk cetak)

Login untuk Mengunduh

Anda harus login terlebih dahulu untuk mengunduh dokumen ini.